nuffnang

Wednesday, July 18, 2012

Mandi Wajib


Cara-cara mandi wajib yang sah masih sering menjadi persoalan di kalangan umat Islamantaranya, remaja yang baru baligh, perempuan yang datang haid, lelaki yang keluar air mani, wanita yang keluar darah nifas, suami isteri yang bersetubuh (jimak) dan sebagainya.

Sebab anda perlu Mandi Wajib

  • Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).
  • Keluar mani walaupun sedikit.
  • Mati melainkan mati syahid.
  • Keluar haid bagi perempuan.
  • Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).
  • Wiladah atau melahirkan anak.

Rukun Mandi Wajib

(cukup 3 rukun ini, mandi wajib anda Sah)
  • Niat
  • Menghilangkan najis di badan sama ada yang jelas (‘ayni) atau tidak jelas (hukmi)
  • Menyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

Jenis Niat Mandi Wajib

1. Keluar mani atau keluar haid dan nifas
“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.
“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

2. Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri
“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

3. Mandi disebabkan keluarnya darah nifas
“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.

Bahasa Arab


Sunat Ketika Mandi Wajib

  • mengadap kiblat
  • membaca basmalah
  • membasuh dua tapak tangan
  • mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi
  • menggosok seluruh anggota badan dengan tangan
  • berturut-turut (muwalat) tanpa putus-putus
  • tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan
  • membasuh sebanyak tiga kali

Cara-cara Mandi Wajib

  • Bersihkan tubuh dan hilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan semasa mandi hadas selepas ini.
  • Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.
  • Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.
  • Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). Bagi sesiapa yang tidak pandai dalam bahasa arab boleh dalam bahasa melayu.
  • Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.
  • Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardhu mandi.
  • Gosot atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.
  • Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki.

Adakah Batal Puasa Mandi Wajib Selepas Subuh

Sebenarnya masih ramai dikalangan umat Islam Malaysia tidak menguasai perkara yang remeh temah tentang ibadah, setiap tahun atau boleh dikatakan setiap hari ruangan komen blog saya dihujani dengan persoalan remeh dan sama pada komen-komen yang lepas dan banyak jawapan saya berikan. Saya mengharapkan pihak pengunjung dapat menyemak dalam jawapan-jawapan yang saya telah berikan diruangan komen tersebut. Kemungkinan soalan yang anda ingin bertanya itu mempunyai kaitan dengan soalan dan jawapan yang telah diberikan dalam ruangan komen blog ustaz.

Kali ini saya siapkan lagi satu artikel yang berkaitan dengan lewat mandi wajib bagi orang yang telah berpuasa di Bulan Ramadhan. Banyak orang tidak tahu adakah puasa terbatal atau tidak disebabkan lewat mandi wajib. Maka dari ini, saya menyediakan jawapan secara ringkas dan padat untuk mengangkat masalah berkaitan yang timbul dalam benak fikiran anda. Aisyah ra dan Ummu Salamah ra pernah menceritakan bahawa :
“Nabi saw pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalil hadis yang diberikan di atas menunjukkan bahawa orang yang mandi selepas azan subuh atau selepas subuh tidak membatalkan puasa mereka. Bagi orang yang bangun lewat, maka hendaklah ia cepat menyegerakan mandi hadasnya untuk menyegerakan solat subuh. Kalau lewat bangun tidur disebabkan tidak terjaga sahur atau tidak disengajakan, maka perbuatan tersebut dimaafkan oleh Allah, tapi kalau ia disengajakan atau selepas makan sahur tidur balik, maka dosa baginya kerana ia mengabaikan perintah Allah iaitu mengerjakan solat subuh. Makruh juga orang yang sengaja melewatkan mandi wajib kerana banyak perkara yang terhalang ketika ia berhadas besar. 




Persediaan Ramadhan


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, selamat datang bulan Ramadhan yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya.

Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang.

Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menanggis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun akan datang.

Rasulullah saw telah menyampaikan khutbahnya pada akhir Bulan Syaaban. Alasan yang jelas mengapa ini dilakukan oleh Baginda ialah bahawa Baginda mahu menjelaskan ke dalam fikiran kita tentang kepentingan Ramadhan yang mendatang supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperolehi manfaat daripadanya. Selepas menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini, perhatian kita terfokus ke arah beberapa perkara yang penting. Pertama Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga. Baca Teks Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan di sini.

Antara persiapan yang perlu ada kepada kita semua untuk menyambut Ramadhan supaya Ramadhan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut :
  1. Persiapan Rohani penting kepada kita semua, untuk melaksanakan segala ibadah yang ada dalam Bulan Ramadhan ini perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika berpuasa.

  2. Ilmu tentang ibadah-ibadah yang terdapat dalam Bulan Ramadhan kena dipelajari oleh kita semua, kefahaman tentang ibadah Bulan Ramadhan ini akan menyebabkan kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah.

  3. Fizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa, sebab orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan ibadah Solat Tarawih, mudah untuk membaca Al-Quran dan sebagainya.

  4. Ekonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang tidak berkemampuan. Kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah Bulan Ramadhan.
Pastikan segala apa yang kita lakukan walaupun pekerjaan harian kita sekalipun menjadi ibadah dan kita dikurniakan ganjaran yang sangat besar dan baik dari Allah kerana tidak melepaskan peluang ibadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa Di Bulan Ramadhan...