nuffnang

Wednesday, July 18, 2012

Persediaan Ramadhan


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, selamat datang bulan Ramadhan yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya.

Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang.

Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menanggis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun akan datang.

Rasulullah saw telah menyampaikan khutbahnya pada akhir Bulan Syaaban. Alasan yang jelas mengapa ini dilakukan oleh Baginda ialah bahawa Baginda mahu menjelaskan ke dalam fikiran kita tentang kepentingan Ramadhan yang mendatang supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperolehi manfaat daripadanya. Selepas menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini, perhatian kita terfokus ke arah beberapa perkara yang penting. Pertama Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga. Baca Teks Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan di sini.

Antara persiapan yang perlu ada kepada kita semua untuk menyambut Ramadhan supaya Ramadhan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut :
  1. Persiapan Rohani penting kepada kita semua, untuk melaksanakan segala ibadah yang ada dalam Bulan Ramadhan ini perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika berpuasa.

  2. Ilmu tentang ibadah-ibadah yang terdapat dalam Bulan Ramadhan kena dipelajari oleh kita semua, kefahaman tentang ibadah Bulan Ramadhan ini akan menyebabkan kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah.

  3. Fizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa, sebab orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan ibadah Solat Tarawih, mudah untuk membaca Al-Quran dan sebagainya.

  4. Ekonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang tidak berkemampuan. Kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah Bulan Ramadhan.
Pastikan segala apa yang kita lakukan walaupun pekerjaan harian kita sekalipun menjadi ibadah dan kita dikurniakan ganjaran yang sangat besar dan baik dari Allah kerana tidak melepaskan peluang ibadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa Di Bulan Ramadhan...

No comments:

Post a Comment