nuffnang

Tuesday, November 13, 2012

Semuanya Bermula Dengan Masalah Iman


"Kenapa aku malas nak beribadah kepada Allah?”
“Kenapa mudah sangat aku buat dosa?”
“Kenapa aku mudah teruja dengan keingkaran dan kemaksiatan?”
“Kenapa mudah sangat aku ini bersangka buruk kepada sahabat dan hendak menyakitkan hatinya?”
“Kenapa susah aku nak jadi baik?”
Ramai mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Ramai yang mencari mengapa dirinya terjerumus dalam sebuah ruang bernama ‘negatif’. Terperangkap dan tidak dapat keluar. Sering mempersoalkan mengapa dirinya sukar hendak menjadi hamba Allah SWT yang baik. Maka dicari apakah rawatannya.
Tetapi untuk saya, rawatan tidak akan bermakna, jika kita tidak tahu apa punca masalahnya.
Dan jawapan saya akan permasalahan-permasalahan yang kita hadapi dalam diri kita sepanjang kehidupan ini, adalah  bermula dengan permasalahan iman.
Iman = Kekuatan.
Adalah menjadi satu formula bagi saya bahawasanya iman adalah kekuatan untuk mereka yang mengakui hendak mengabdikan kehidupannya kepada Allah SWT. Yang ingin menjadi khalifah, meneruskan tanggungjawab yang Allah galaskan pada bahu mereka.
Maka tiada kekuatan yang akan dapat memberikan sokongan padu untuk menjamin diri istiqomah menjadi hambaNya, mampu menggerakkan amanah-amanahNya, melainkan keimanan kita kepadaNya.
Kita beriman kepada hari akhirat, qada’ dan qadar’, Al-Quran, Rasul-Rasul, kewujudan Malaikat dan kehadiran Allah SWT dalam kehidupan kita. Itulah yang memberikan kita kekuatan.
Dan, keimanan jika kita interprestasikan sebagai hanya semata-mata ‘percaya dengan hati’, maka itu adalah keimanan yang mandul dan tidak memberikan kesan. Keimanan mestilah disertai dengan ‘amalan’, ‘tindakan’. Barulah ianya akan menunjukkan hasilnya.
Sebab itu jangan sesekali kita lupa kata-kata yang masyhur akan keimanan:
“Iman itu bukanlah sekadar cita-cita dan bukanlah sekadar kata-kata, tetapi ianya adalah apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amalan.” Bukan sekadar tersemat di dalam hati semata-mata.

Dosa = Ancaman.
Iman boleh diancam. Ianya diancam dengan dosa. Saat kita melakukan keingkaran kepada Allah SWT, hakikatnya keimanan kita telah hilang. Selepas itu jika kita rasa bersalah, menyesal, itu tandanya keimanan masih membekas di dalam diri kita, walaupun mungkin tidak cukup kuat untuk menghalang kita dari ingkar kepadaNya.
Namun ada yang langsung tidak rasa bersalah. Keimanannya tidak bergetar.
Sebelum tiba ke tahap itu, biasanya kita akan rasa bersalah. Kita akan rasa ada yang tidak kena, bila melakukan dosa. Namun apabila perasaan bersalah ini, rasa tidak kena ini, tidak kita hargai, tidak kita sahut, lama kelamaan dosa menjadi biasa, dan kita tidak akan rasa apa-apa saat melakukannya. Mengapa? Kerana dosa itu memberikan bintik hitam ke dalam jiwa. Apabila jiwa telah gelap, jiwa telah beku dan mati, hingga tidak lagi mampu merasakan dosa adalah ancaman.
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” Hadith riwayat Al-Baihaqi.
Kerana itu, apabila kita merasa sukar hendak melakukan kebaikan, kita melihat payah untuk kita menjadi hamba Allah yang taat, perkara pertama yang perlu kita lihat bukannya ‘apakah doa yang mesti kubaca’ atau ‘apakah ibadah yang mesti kulakukan’. Tetapi pertamanya, kita perlu melihat ‘apakah dosa yang masih aku lakukan?’. Kerana dosa inilah yang memberatkan kita dari melaksanakan kebaikan.
Penyelesaian – Meningkatkan Keimanan.
Pertarungan antara kebaikan dan kejahatan adalah perkara biasa di dalam diri manusia. Hati dan jiwa kita adalah medan pertarungannya. Apa yang kita perlu lakukan adalah memenangkan keimanan itu dalam setiap pertarungannya.
Kita laksanakan kebaikan-kebaikan, dan jangan memandang enteng akannya, walau kelihatan kecil di mata kita.
Senyum, derma, bersangka baik,  berpakain kemas, menjaga kebersihan, tidak membazirkan makanan/masa/wang, solat fardhu 5 kali sehari, membaca Al-Quran paling kurang 1ms sehari, beristighfar paling kurang 10x setiap lepas Solat dan sebagainya. Ringan-ringan sahaja.
Sebelum kita pergi tambah kepada solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, Al-Quran 10ms sehari, istighfar 100x sehari tambah dengan zikir-zikir, qiyamullail dan sebagainya.
Kebaikan-kebaikan yang kita laksanakan akan menambahkan kekuatan iman kita. Di samping jangan lupa untuk membaca buku-buku yang menjana kefahaman kita akan keimanan terhadapNya. Jangan dihabiskan terlalu banyak masa pada drama, game, movie, lagu-lagu dan sebagainya yang tidak menghubungkan kita kepadaNya.
Dengan melakukann kebaikan, kita telah mengurangkan masa untuk melakukan kejahatan. Dan apabila banyak melakukan kebaikan, kita akan mula merasa ‘pelik’ untuk tiba-tiba ingkar kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak itu dia beriman.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Jelas menunjukkan bagaimana, iman dan keingkaran kepada Allah SWT itu tidak akan hidup pada satu tempat yang sama.

Penutup: Keimanan Itu Kekuatan, Dosa Itu Ancaman.
Saya sentiasa percaya bahawa dengan kita taat kepada Allah SWT, kita akan bahagia. Beriman kepada Allah tidak menjamin kita terlepas dari masalah, cabaran, halangan yang wujud di atas muka bumi ini. Kerana ujian dengan kehidupan adalah kembar, satu realiti yang mesti kita terima.
Tetapi sekurang-kurangnya, apabila kita taat kepada Allah SWT, kalau kita ada bermasalah dengan dunia ini sekali pun, dengan manusia mana sekalipun, sekurang-kurangnya kita tahu yang kita tidak bermasalah dengan Empunya Dunia, dan Pencipta Kepada Manusia. Bukankah itu sudah menjadi satu kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan penuh kebahagiaan?
Namun jika keimanan hilang dan yang ada hanyalah dosa-dosa, memang kita akan sentiasa rasa ‘penat’, resah, gelisah, takut, malas, dan sebagainya. Kerana kita tiada ‘kekuatan’. Dan apa sahaja kekuatan yang kita ada dalam keadaan kita melakukan keingkaran kepada Tuan Punya Kekuatan itu, kita tahu kekuatan yang kita ada itu tidak akan kekal lama.
Kerana Allah jualah kekuatan yang sebenarnya.
Untuk menyelesaikan masalah-masalah dalaman kita, memang menyelesaikan masalah iman adalah perkara pertama yang perlu dilaksanakan oleh kita!
sumber ilmu dari langgit illahi

No comments:

Post a Comment