nuffnang

Monday, July 18, 2011

Kesilapan-Kesilapan Dalam Mendidik Anak-Anak



Sebenarnya terdapat banyak bentuk kesilapan dalam mendidik anak-anak.

Kesilapan terbesar ialah kegagalan ibu dan bapa menjadikan agama sebagai teras dalam pendidikan anak-anak.

Agama membawa kepada keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Antara pembangunan akhlak dan kecemerlangan akademik. Antara dunia dan akhirat.

Tanpa agama, anak-anak ibarat ditinggalkan di lorong yang gelap tanpa pedoman untuk diikuti.

Sering kali berlaku, ibu bapa yang bersungguh-sungguh memarahi anak yang mendapat nombor yang corot dalam peperiksaan, tetapi hanya buat selamba abapila mengetahui anaknya meninggalkan solat dengan sengaja.

Tak kurang juga ibu bapa yang sangat mengambil berat soal makan-minum anak-anak tetapi, mengabaikan terus 'makanan' rohani anak-anak yang sentiasa 'lapar' dan 'dahagakan' petunjuk agama.

Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan dengan alasan ia adalah 'kebiasaan budak-budak zaman sekarang', tanpa peka dengan batasan syariat yang menuntut kawalan pergaulan antara jantina berbeza.

Ringkasnya, pengabaian agama merupakan kesilapan terbesar dalam pendidikan anak-anak.

Mendidik Tanpa Belas Ihsan

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendidik anak tanpa perasaan belas ihsan.

Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa terdapat anak-anak yang diperlaku dengan perlakuan yang keras sehingga menyebabkan anak-anak tertekan, kecewa, punah harapan dan ada yang membunuh diri.

Tidak dinafikan terdapat ibu bapa yang 'mendidik' anak berbekalkan luapan emosi marah tidak terkawal sehingga ada yang memaki hamun, menghina, memukul dan membelasah anak sendiri. Bahkan kes-kes penderaan anak masih kerap didengari sehingga hari ini.

Kekerasan melampau ke atas anak-anak ini membuahkan kekacauan jiwa anak-anak. Hal ini juga ada kaitannya dengan faktor anak-anak enggan berada di rumah. Bagi mereka 'Rumahku Nerakaku'. Mereka lebih bahagia dan damai bila berada dengan rakan-rakan, yang kadang-kadang membawa mereka ke kancah kemusnahan kekal.

Bagi si ibu dan bapa, perlu diingat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbuat baik kepada anak-anak kerana anak adalah amanah dari Allah SWT.

"Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat." (Surah an-Nahl:90)

Sabda Rasulullah SAW:

"Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi sesebuah keluarga, maka diberikan sifat belas kasihan kepada mereka. Dan andainya sifat belas kasihan itu suatu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai sebaik-baik ciptaan dari Allah. Dan sekiranya kekerasan itu adalah satu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai seburuk-buruk ciptaan dari Allah." (Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi)

Terlalu Memanjakan Anak-Anak

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak. Ada ibu bapa yang berat untuk menghukum dan menegur anak-anak semata-mata takutkan anak itu merajuk.

Kuasa merajuk anak itu diberikan sedemikian rupa sehingga anak itu berjaya memanupulasikannya sebagai senjata untuk mengugut ibu bapa.

Tidak salah untuk memanjakan mereka. Memang anak-anak perlukan kemanjaan dan kasih sayang. Namun, tindakan yang salah ialah terlalu memanjakan anak dengan tidak menetapkan disiplin dan sempadan ke atas anak-anak.

Akhirnya anak itu menjadi terlalu bebas, dan gagal dididik dangan teratur dan berprinsip.

Kesimpulan

Ringkasnya, antara faktor yang merosakkan pendidikan anak ialah berpunca dari ibu bapa sendiri yang gagal mendidik dengan cara yang betul. Realiti hidup masa kini yang semakin kompleks dan mencabar menuntut ibu bapa agar lebih tekun mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan dan mengadaptasinya dalam kehidupan berkeluarga.

Landasan agama merupakan asas yang paling baik untuk menjadi bekalan dan rujukan dalam mendidik anak-anak menuju ketinggian sahsiah.

No comments:

Post a Comment