nuffnang

Tuesday, December 11, 2012

Petua untuk Bakal Ibu




Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata sebagai pengikat kasih mereka. Tentunya berita kehamilan paling ditunggu selepas diijabkabulkan, namun kehamilan buat pertama kali pasti memberi pengalaman baru kepada setiap wanita.

Perasaan berdebar, takut dan gembira pasti menyelubungi setiap pasangan. Banyak petua dan pantang larang perlu diikuti sewaktu berbadan dua bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Pengalaman hamil pasti memberi pengalaman manis sebelum bergelar ibu. Gejala seperti morning sickness, loya, pening antara simptom biasa dialami setiap bakal ibu.

Berikut beberapa tips yang boleh dikongsi untuk bakal ibu.

Perkara perlu dielakkan sewaktu hamil:

* Penjagaan kuku tangan kaki - Anda sering mendapatkan rawatan kuku di salun sebelum ini. Jika boleh, elak melakukannya ketika hamil, terutama pada tiga bulan pertama usia kandungan anda.

Ini kerana produk kecantikan yang digunakan mengandungi bahan kimia. Lebih baik anda mengambil langkah berjaga-jaga menghindarinya.

* Jalani rawatan muka - Jika sekadar mencuci biasa menggunakan produk bebas daripada bahan kimia, tidak mengapa. Namun, pastikan produk digunakan bersih dan tidak mengandungi bahan berbahaya.

* Mewarna rambut - Seboleh-bolehnya elakkan, terutama pada trimester pertama kehamilan, kerana dikhuatiri bahan kimia dalam pewarna meresap ke dalam kulit dan menimbulkan risiko jangkitan terhadap kandungan.

* Kasut bertumit - Tak perlu bergaya dengan kasut bertumit ketika hamil kerana semakin bertambah usia kehamilan, semakin bertambah berat badan yang mempengaruhi graviti tubuh dan mudah membuat ibu hamil hilang keseimbangan serta terjatuh.

* Ubat nyamuk - Elak apa saja jenis ubat nyamuk tidak kira jenis semburan, yang dibakar atau sapuan sekalipun. Ubat nyamuk mengandungi bahan kimia berbahaya dan boleh menjejaskan kandungan anda.

Derma darah - Ibu hamil tidak digalakkan menderma darah disebabkan mudah mengalami anemia (kekurangan darah) sedangkan anda perlukan banyak darah untuk kehamilan.

* Bawa barang - Elak membawa barang berat, apatah lagi setelah kehamilan memasuki trimester terakhir.

* Durian - Elak memakan durian, terutama pada trimester pertama kehamilan, kerana ia boleh merangsang kontraksi yang akhirnya menyebabkan keguguran.

* Kapal terbang - Elak menaiki kapal terbang pada trimester terakhir kehamilan, apatah lagi jika anda tergolong dalam kehamilan berisiko atau menghadapi masalah kesihatan. Tekanan di udara boleh menambah risiko terhadap kehamilan.

* Gincu bibir - Jika anda suka memakai gincu ketika hamil, elakkan tabiat suka menjilat bibir. Bahan pengawet dan pewarna di dalam gincu jika tertelan boleh membahayakan janin.

* Krim pemutih - Lupakan krim pemutih ketika ini. Kandungannya boleh menjejaskan kesihatan anda dan janin.

* Ubat jerawat - Wajah anda dipenuhi jerawat setelah mula hamil? Ia perkara biasa kerana faktor perubahan hormon untuk proses kehamilan. Lupakan seketika penggunaan ubat jerawat kerana ia mungkin membahayakan pertumbuhan janin anda. Cara lebih selamat, kerap mencuci muka untuk mengurangkan penghasilan minyak yang menyebabkan jerawat. Atasi jerawat setelah melahirkan nanti.

Nutrisi penting sewaktu hamil

* Protin - Pastikan tiga makanan utama diambil mengandungi protin tinggi seperti kekacang, daging, telur keju yang berfungsi membina tisu dan otot bayi

* Kalsium - Banyakkan pengambilan susu, ikan dalam tin, kacang soya, tauhu dan produk tenusu yang penting untuk menguatkan tulang dan gigi bayi

* Zat besi - Banyakkan pengambilan daging merah bagi melancarkan perjalanan darah bayi dan ibu di samping vitamin C. Misalnya tiram, buah kering, kacang soya, bijirin, roti gandum dan kekacang

* Asid folik - Ia sangat penting dalam kehamilan. Ia membantu mengatur pembentukan sel saraf 'embryonic' dan 'fetal' yang penting untuk tumbesaran normal. Banyakkan pengambilan makanan mengandungi asid folik seperti barli, daging lembu, beras perang, keju, ayam, buah kurma, sayuran berdaun hijau, daging kambing, hati, susu, cendawan, oren, ikan salmon, tuna, gandum dan bijirin

* Serat - Banyakkan mengambil makanan serat tinggi kerana ia berperanan menghalang penyerapan zat gizi lain seperti lemak, karbohidrat dan protein. Makanan seperti buah-buahan, roti gandum, bijirin dan bertih jagung

* Air - Amalkan meminum air putih lapan hingga 12 gelas sehari. Tubuh ibu mengandung juga memerlukan cecair seperti susu, jus dan sup

Makanan tambahan sewaktu hamil

Pengambilan makanan tambahan dengan dos berlebihan boleh membahayakan ibu kerana ia larut dalam lemak. Paling penting adalah kalsium, asid folik dan zat besi.

Makanan yang harus dielak sewaktu hamil

Makanan mentah dan separuh masak, misalnya kafein, sushi, telur separuh masak, steak, makanan ringan, alkohol dan nikotin kerana mengakibatkan gejala tidak elok. Gula juga tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan komplikasi seperti kencing manis ketika mengandung. Ia juga boleh menyebabkan bayi besar.



Tuesday, November 13, 2012

Semuanya Bermula Dengan Masalah Iman


"Kenapa aku malas nak beribadah kepada Allah?”
“Kenapa mudah sangat aku buat dosa?”
“Kenapa aku mudah teruja dengan keingkaran dan kemaksiatan?”
“Kenapa mudah sangat aku ini bersangka buruk kepada sahabat dan hendak menyakitkan hatinya?”
“Kenapa susah aku nak jadi baik?”
Ramai mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Ramai yang mencari mengapa dirinya terjerumus dalam sebuah ruang bernama ‘negatif’. Terperangkap dan tidak dapat keluar. Sering mempersoalkan mengapa dirinya sukar hendak menjadi hamba Allah SWT yang baik. Maka dicari apakah rawatannya.
Tetapi untuk saya, rawatan tidak akan bermakna, jika kita tidak tahu apa punca masalahnya.
Dan jawapan saya akan permasalahan-permasalahan yang kita hadapi dalam diri kita sepanjang kehidupan ini, adalah  bermula dengan permasalahan iman.
Iman = Kekuatan.
Adalah menjadi satu formula bagi saya bahawasanya iman adalah kekuatan untuk mereka yang mengakui hendak mengabdikan kehidupannya kepada Allah SWT. Yang ingin menjadi khalifah, meneruskan tanggungjawab yang Allah galaskan pada bahu mereka.
Maka tiada kekuatan yang akan dapat memberikan sokongan padu untuk menjamin diri istiqomah menjadi hambaNya, mampu menggerakkan amanah-amanahNya, melainkan keimanan kita kepadaNya.
Kita beriman kepada hari akhirat, qada’ dan qadar’, Al-Quran, Rasul-Rasul, kewujudan Malaikat dan kehadiran Allah SWT dalam kehidupan kita. Itulah yang memberikan kita kekuatan.
Dan, keimanan jika kita interprestasikan sebagai hanya semata-mata ‘percaya dengan hati’, maka itu adalah keimanan yang mandul dan tidak memberikan kesan. Keimanan mestilah disertai dengan ‘amalan’, ‘tindakan’. Barulah ianya akan menunjukkan hasilnya.
Sebab itu jangan sesekali kita lupa kata-kata yang masyhur akan keimanan:
“Iman itu bukanlah sekadar cita-cita dan bukanlah sekadar kata-kata, tetapi ianya adalah apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amalan.” Bukan sekadar tersemat di dalam hati semata-mata.

Dosa = Ancaman.
Iman boleh diancam. Ianya diancam dengan dosa. Saat kita melakukan keingkaran kepada Allah SWT, hakikatnya keimanan kita telah hilang. Selepas itu jika kita rasa bersalah, menyesal, itu tandanya keimanan masih membekas di dalam diri kita, walaupun mungkin tidak cukup kuat untuk menghalang kita dari ingkar kepadaNya.
Namun ada yang langsung tidak rasa bersalah. Keimanannya tidak bergetar.
Sebelum tiba ke tahap itu, biasanya kita akan rasa bersalah. Kita akan rasa ada yang tidak kena, bila melakukan dosa. Namun apabila perasaan bersalah ini, rasa tidak kena ini, tidak kita hargai, tidak kita sahut, lama kelamaan dosa menjadi biasa, dan kita tidak akan rasa apa-apa saat melakukannya. Mengapa? Kerana dosa itu memberikan bintik hitam ke dalam jiwa. Apabila jiwa telah gelap, jiwa telah beku dan mati, hingga tidak lagi mampu merasakan dosa adalah ancaman.
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” Hadith riwayat Al-Baihaqi.
Kerana itu, apabila kita merasa sukar hendak melakukan kebaikan, kita melihat payah untuk kita menjadi hamba Allah yang taat, perkara pertama yang perlu kita lihat bukannya ‘apakah doa yang mesti kubaca’ atau ‘apakah ibadah yang mesti kulakukan’. Tetapi pertamanya, kita perlu melihat ‘apakah dosa yang masih aku lakukan?’. Kerana dosa inilah yang memberatkan kita dari melaksanakan kebaikan.
Penyelesaian – Meningkatkan Keimanan.
Pertarungan antara kebaikan dan kejahatan adalah perkara biasa di dalam diri manusia. Hati dan jiwa kita adalah medan pertarungannya. Apa yang kita perlu lakukan adalah memenangkan keimanan itu dalam setiap pertarungannya.
Kita laksanakan kebaikan-kebaikan, dan jangan memandang enteng akannya, walau kelihatan kecil di mata kita.
Senyum, derma, bersangka baik,  berpakain kemas, menjaga kebersihan, tidak membazirkan makanan/masa/wang, solat fardhu 5 kali sehari, membaca Al-Quran paling kurang 1ms sehari, beristighfar paling kurang 10x setiap lepas Solat dan sebagainya. Ringan-ringan sahaja.
Sebelum kita pergi tambah kepada solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, Al-Quran 10ms sehari, istighfar 100x sehari tambah dengan zikir-zikir, qiyamullail dan sebagainya.
Kebaikan-kebaikan yang kita laksanakan akan menambahkan kekuatan iman kita. Di samping jangan lupa untuk membaca buku-buku yang menjana kefahaman kita akan keimanan terhadapNya. Jangan dihabiskan terlalu banyak masa pada drama, game, movie, lagu-lagu dan sebagainya yang tidak menghubungkan kita kepadaNya.
Dengan melakukann kebaikan, kita telah mengurangkan masa untuk melakukan kejahatan. Dan apabila banyak melakukan kebaikan, kita akan mula merasa ‘pelik’ untuk tiba-tiba ingkar kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan mencuri seorang pencuri, sekiranya ketika dia mencuri itu dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, sekiranya ketika dia berzina itu dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, sekiranya ketika dia meminum arak itu dia beriman.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Jelas menunjukkan bagaimana, iman dan keingkaran kepada Allah SWT itu tidak akan hidup pada satu tempat yang sama.

Penutup: Keimanan Itu Kekuatan, Dosa Itu Ancaman.
Saya sentiasa percaya bahawa dengan kita taat kepada Allah SWT, kita akan bahagia. Beriman kepada Allah tidak menjamin kita terlepas dari masalah, cabaran, halangan yang wujud di atas muka bumi ini. Kerana ujian dengan kehidupan adalah kembar, satu realiti yang mesti kita terima.
Tetapi sekurang-kurangnya, apabila kita taat kepada Allah SWT, kalau kita ada bermasalah dengan dunia ini sekali pun, dengan manusia mana sekalipun, sekurang-kurangnya kita tahu yang kita tidak bermasalah dengan Empunya Dunia, dan Pencipta Kepada Manusia. Bukankah itu sudah menjadi satu kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan penuh kebahagiaan?
Namun jika keimanan hilang dan yang ada hanyalah dosa-dosa, memang kita akan sentiasa rasa ‘penat’, resah, gelisah, takut, malas, dan sebagainya. Kerana kita tiada ‘kekuatan’. Dan apa sahaja kekuatan yang kita ada dalam keadaan kita melakukan keingkaran kepada Tuan Punya Kekuatan itu, kita tahu kekuatan yang kita ada itu tidak akan kekal lama.
Kerana Allah jualah kekuatan yang sebenarnya.
Untuk menyelesaikan masalah-masalah dalaman kita, memang menyelesaikan masalah iman adalah perkara pertama yang perlu dilaksanakan oleh kita!
sumber ilmu dari langgit illahi

Monday, October 15, 2012

Beberapa panduan dari AlHadith tentang mencari rezeki yang berkat




“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)

“Allah taala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka.” (Riwayat AnNasaie, sahih)

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)


“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)


Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)


“Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)


“Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)


“Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya” ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)


“Nikahilah perempuan kerana mereka akan membawa harta kepada kamu.” (riwayat Bazzar, Daruqutni dan Hakim, hadis hasan)


“Adakah kamu suka hatimu menjadi lembut, dan kamu memperolehi hajat keperluanmu? Kasihanilah anak yatim, usaplah kepalanya, dan berikanlah dia daripada makananmu, nescaya lembutlah hatimu dan kamu akan memperolehi hajatmu.” (Riwayat Tabrani)


“Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan-amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” H.R Ibnu Majah.


“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
“Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Riwayat Tabrani)


“Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.” (Tabrani, Ibnu Adi)


“Sesungguhnya tidur pada waktu pagi menghalang sebahagian rezeki” Abu Nuaim.
“Ikutlah antara haji dan umrah kerana di dalam mengikuti antara keduanya menambah panjang umur dan menambah rezeki” (Ahmad, Ibnu Majah, Daruqutni, Tabrani)


“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)





Mengapa Rezeki Kita Sempit.......


Allah SWT menciptakan semua makhluk telah sempurna dengan pembagian rezekinya. Tidak ada satu pun yang akan ditelantarkan- Nya, termasuk kita. Karena itu, rezeki kita yang sudah Allah jamin pemenuhannya. Adakah sungguh sungguh mencarinya atau tidak? Yang lebih tinggi lagi benar atau tidak cara mendapatkannya. Rezeki di sini tentu bukan sekadar wang. Ilmu, kesehatan, ketenteraman jiwa, pasangan hidup, keturunan, nama baik, persaudaraan, ketaatan termasuk pula rezeki, bahkan lebih tinggi nilainya dibanding wang ringgit.

Walau demikian, ada banyak orang yang dipusingkan dengan masalah pembagian rezeki ini. “Mengapa sukar memperolehi rizqi, padahal sudah mati-matian mencarinya?” “Mengapa ya saya gagal terus dalam perniagaan?” “Mengapa hati saya tidak pernah tenang?” Ada banyak penyebab, mungkin cara mencarinya yang kurang profesional, kurang serius mengusahakannya, atau ada keadaan atau situasi yang menyebabkan Allah Azza wa Jalla “menahan” rezeki yang bersangkutan. Poin terakhir inilah yang akan kita bahas. Mengapa aliran rezeki kita tersumbat? Apakah penyebabnya?

Allah adalah Dzat Pembagi Rezeki. Tidak ada setetes pun air yang masuk ke mulut kita kecuali atas izin-Nya. Karena itu, jika Allah SWT sampai menahan rezeki kita, pasti ada sesuatu yang salah yang kita lakukan. Setidaknya ada lima hal yang menghalangi aliran rezeki.

Pertama, tahap tawakkal di hati. Dengan kata lain, kita berharap dan menggantungkan diri kepada selain Allah. Kita berusaha, namun usaha yang kita lakukan tidak dikaitkan dengan-Nya. Padahal Allah itu mengikut prasangka hamba-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah, maka keburukan-lah yang akan ia terima. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Demikian janji Allah dalam QS Ath Thalaaq [63] ayat 3.

Kedua, dosa dan maksiat yang kita lakukan. Dosa adalah penghalang datangnya rezeki. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang terjauh dari rezeki disebabkan oleh perbuatan dosanya.” (HR Ahmad). Saudaraku, bila dosa menyumbat aliran rezeki, maka tobat akan membukanya. Andai kita simak, doa minta hujan isinya adalah permintaan tobat, doa Nabi Yunus saat berada dalam perut ikan adalah permintaan tobat, demikian pula doa memohon anak dan Lailatul Qadar adalah tobat. Karena itu, bila rezeki terasa seret, perbanyaklah tobat, dengan hati, ucapan dan perbuatan kita.

Ketiga, maksiat saat mencari nafkah. Apakah pekerjaan kita dihalalkan agama? Jika memang halal, apakah benar dalam mencari dan menjalaninya? Tanyakan selalu hal ini. Kecurangan dalam mencari nafkah, entah itu korupsi (waktu, uang), memanipulasi timbangan, praktik mark up, dsb akan membaut rezeki kita tidak berkah. Mungkin wang kita dapat, namun berkat dari wang tersebut telah hilang. Apa ciri rezeki yang tidak berkat? Mudah menguap untuk hal sia-sia, tidak membawa ketenangan, sulit dipakai untuk taat kepada Allah serta membawa penyakit. Bila kita terlanjur melakukannya, segera bertobat dan kembalikan harta tersebut kepada yang berhak menerimanya.

Keempat, pekerjaan yang melalaikan kita dari mengingat Allah. Bertanyalah, apakah aktiviti kita selama ini membuat hubungan kita dengan Allah makin menjauh? Terlalu sibuk bekerja sehingga lupa solatt (atau minimal jadi telat), lupa membaca Alquran, lupa mendidik keluarga, adalah contoh-contoh pekerjaan kita tidak berkat. Jika sudah demikian, jangan heran bila rezeki kita akan tersumbat. Idealnya, semua pekerjaan harus membuat kita semakin dekat dengan Allah. Sibuk boleh, namun jangan sampai hak-hak Allah kita abaikan. Saudaraku, bencana sesungguhnya bukanlah bencana alam yang menimpa orang lain. Bencana sesungguhnya adalah saat kita semakin jauh dari Allah.

Kelima, enggan bersedekah. Siapapun yang kedekut, niscaya hidupnya akan sempit, rezekinya kurang. Sebaliknya, sedekah adalah penolak bala, penyubur kebaikan serta pelipat ganda rezeki. Sedekah bagaikan sebutir benih menumbuhkan tujuh bulir, yang pada tiap-tiap bulir itu terjurai seratus biji. Ertinya, Allah yang Mahakaya akan membalasnya hingga tujuh ratus kali lipat (QS Al Baqarah [2]: 261). Tidakkah kita tertarik dengan janji Allah ini? Maka pastikan, tiada hari tanpa sedekah, tiada hari tanpa kebaikan. Insya Allah, Allah SWT akan membukakan pintu-pintu rezeki-Nya untuk kita. Amin

Sunday, October 14, 2012

APE ITU TONSIL



















aku ambil dr blog dr azwan 

Assalamualaikum....

Saya ingin berkongsi dengan tuan dan puan para pembaca tentang satu penyakit yang sering berlaku kepada kita terutama kepada anak-anak yang dipanggil tonsillitis. Sebelum kita bercerita jauh mari kita tinjau dahulu apakah itu sejenis organ yang dipanggil tonsil.

Apakah itu Tonsil?

Tonsil ialah sejenis tisu limfoid yang merupakan sebahagian dari sistem pertahanan badan. Tisu limfoid ini terdiri daripada sejenis sel dipanggil limfosit yang penting untuk bertindak melawan penyakit. Terdapat 3 jenis tonsil yang terdapat di rongga mulut:-

1. Adenoids - tonsil yang terletak di belakang hidung
2. Lingual tonsils - tonsil di belakang lidah
3. Palatine tonsils - tonsil di tekak yang sedang kita perkatakan.


Apa itu radang tonsil atau tonsillitis?

Tisu limfoid adalah sebahagian daripada sistem kelenjar limfatik diseluruh tubuh dan kawasan usus yang boleh membengkak sekiranya ada jangkitan. Sebagai contoh kelenjar limfatik di leher, boleh membengkak sekiranya terdapat jankitan di dalam mulut misalnya. Pembengkakan ini adalah reaksi kepada jangkitan untuk menghasilkan lebih banyak sel untukmelawan penyakit.

Oleh itu, apabila terdapat jangkitan di dalam tekak, sebagai salah satu sistem limfatik, tonsil ini akan menjadi bengkak dan menjadi radang yang disebut tonsilitis atau radang tonsil.

Apakah penyebab dan gejala radang tonsil?

Tonsilitis boleh disebabkan oleh jangkitan virus ataupun jangkitan bakteria di dalam tekak. Jangkitan bakteria seperti streptococcus boleh menyebabkan tonsil bengkak dan bernanah. Jangkitan virus seperti Epstein Barr Virus, adenovirus atau measles boleh juga menyebabkan pembengkakan tonsil juga.

Antara gejala radang tonsil ialah :-
1. Sakit tekak yang kadang2 teruk
2. Tidak boleh menelan atau sakit apabila menelan
3. Demam yang kadang2 sangat tinggi
4. Sakit kepala dan sakit-sakit badan
5. Suara garau atau hilang suara
6. Kadang-kadang ada bengkak pada leher.
7. Mulut berbau busuk
8. Berdengkur waktu tidur

Gambar menunjukkan gambar tonsil yang bengkak dan kadang-kadang tumbuh keputihan seperti nanah pada tonsil.

Komplikasi Radang Tonsil

Radang tonsil biasanya berlaku di dalam umur 3 tahun ke atas. Kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah biasanya jarang terkena tonsil ini walaupun tidak terkecuali. Paling kerap adalah berumur di dalam lingkungan 5-15 tahun.

Yang sering menjadi masalah kepada ibu-bapa ialah anak yang kerap demam akibat tonsilitis. Adakalanya setiap 2 bulan ibu dan bapa akan datang ke klinik kerana masalah ini. Ini melibatkan kos ubat dan masa.

Oleh kerana umur yang kerap terkena adalah dari golongan umur persekolahan, ada anak-anak yang terpaksa mengambil cuti panjang daripada persekolahan kerana masalah ini. Ini menyebabkan anak-anak ketinggalan di dalam mata pelajaran dan menyebabkan keputusan peperiksaan tidak beberapa memuaskan. Anak yang sering sakit akan berasa rendah diri dan pertumbuhannya juga boleh terganggu.

Tonsilitis kebanyakannya tidak merbahaya. Ada kes terpencil jangkitan bakteria yang menyebabkan septicaemia atau kuman yang merebak ke dalam salur darah. Ada juga yang mengaitkan jangkitan tonsil ini dengan penyakit Acute glomerulonephritis (sejenis jangkitan buah pinggang) dan rheumatic fever (penyakit bawaan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan masalah jantung).

"Sleep apneoa" atau penyakit berhenti bernafas semasa tidur boleh disebabkan oleh pembekakan tonsil yang sangat besar sehingga mengganggu pernafasan. Biasanya ia dikaitkan dengan tidur berdengkur dan kesukaran bernafas semasa tidur.

Perawatan Radang Tonsil.

Pada kebiasaanya, saya cuma memberi ubat lozenges atau hisap untuk meredakan kesakitan. Thymol gargle atau Difflam gargle juga boleh diberikan untuk mengurangkan keradangan dengan cara berkumur (bagi kanak-kanak yang boleh). Saya juga pernah terjumpa dengan kawan doktor yang memberikan peptidase atau papase untuk mengurangkan bengkak tonsil tetapi bagaimana effektifnya saya pun tidak pasti.
Ada juga yang memberi ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen untuk tujuan menahan sakit.
Ubat antibiotik akan diberikan sekiranya tonsil itu disebabkan oleh jangkitan bakteria. Biasanya antibiotik yang diberi ialah dari jenis penicillin seperti amoxycillin atau ampicillin. Kadang-kadang saya juga memberi antibiotik dari jenis cephalosporin atau erythromycin. Saya amat jarang memberi antibiotik bertenaga nuklear seperti Zithromycin atau Augmentin kerana saya mengamalkan prinsip memberi antibiotik yang sederhana dahulu sebelum memberi yang kuat.
Pembedahan membuang tonsil atau tonsillectomy adalah jalan terakhir untuk mengelakkan radang tonsil daripada berulang-ulang. Ada pendapat pakar yang menyatakan bahawa membuang tonsil boleh mengurangkan sedikit sistem pertahanan badan. Oleh hal yang demikian, pembuangan tonsil perlu dilakukan secara berhati-hati.

Untuk tujuan itu, anda terpaksa berjumpa dengan pakar ENT untuk pakar membuat keputusan membuang tonsil. Pakar ENT mempunyai kaedah-kaedah dan perkara2 yang perlu diteliti sebelum pembedahan dilaksanakan dan pesakit perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu seperti jangkitan tonsil yang kerap seperti 3 episod jangkitan setahun selama 3 tahun berturut-turut dan beberapa kriteria lain. Pembedahan adalah singkat dan biasanya anak-anak cuma duduk selama 2-3 hari di dalam wad sebelum dibenarkan pulang selepas pembedahan sekiranya tiada demam dan tiada pendarahan.

Wednesday, July 18, 2012

Mandi Wajib


Cara-cara mandi wajib yang sah masih sering menjadi persoalan di kalangan umat Islamantaranya, remaja yang baru baligh, perempuan yang datang haid, lelaki yang keluar air mani, wanita yang keluar darah nifas, suami isteri yang bersetubuh (jimak) dan sebagainya.

Sebab anda perlu Mandi Wajib

  • Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).
  • Keluar mani walaupun sedikit.
  • Mati melainkan mati syahid.
  • Keluar haid bagi perempuan.
  • Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).
  • Wiladah atau melahirkan anak.

Rukun Mandi Wajib

(cukup 3 rukun ini, mandi wajib anda Sah)
  • Niat
  • Menghilangkan najis di badan sama ada yang jelas (‘ayni) atau tidak jelas (hukmi)
  • Menyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

Jenis Niat Mandi Wajib

1. Keluar mani atau keluar haid dan nifas
“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.
“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

2. Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri
“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

3. Mandi disebabkan keluarnya darah nifas
“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.

Bahasa Arab


Sunat Ketika Mandi Wajib

  • mengadap kiblat
  • membaca basmalah
  • membasuh dua tapak tangan
  • mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi
  • menggosok seluruh anggota badan dengan tangan
  • berturut-turut (muwalat) tanpa putus-putus
  • tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan
  • membasuh sebanyak tiga kali

Cara-cara Mandi Wajib

  • Bersihkan tubuh dan hilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan semasa mandi hadas selepas ini.
  • Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.
  • Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.
  • Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). Bagi sesiapa yang tidak pandai dalam bahasa arab boleh dalam bahasa melayu.
  • Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.
  • Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardhu mandi.
  • Gosot atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.
  • Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki.

Adakah Batal Puasa Mandi Wajib Selepas Subuh

Sebenarnya masih ramai dikalangan umat Islam Malaysia tidak menguasai perkara yang remeh temah tentang ibadah, setiap tahun atau boleh dikatakan setiap hari ruangan komen blog saya dihujani dengan persoalan remeh dan sama pada komen-komen yang lepas dan banyak jawapan saya berikan. Saya mengharapkan pihak pengunjung dapat menyemak dalam jawapan-jawapan yang saya telah berikan diruangan komen tersebut. Kemungkinan soalan yang anda ingin bertanya itu mempunyai kaitan dengan soalan dan jawapan yang telah diberikan dalam ruangan komen blog ustaz.

Kali ini saya siapkan lagi satu artikel yang berkaitan dengan lewat mandi wajib bagi orang yang telah berpuasa di Bulan Ramadhan. Banyak orang tidak tahu adakah puasa terbatal atau tidak disebabkan lewat mandi wajib. Maka dari ini, saya menyediakan jawapan secara ringkas dan padat untuk mengangkat masalah berkaitan yang timbul dalam benak fikiran anda. Aisyah ra dan Ummu Salamah ra pernah menceritakan bahawa :
“Nabi saw pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalil hadis yang diberikan di atas menunjukkan bahawa orang yang mandi selepas azan subuh atau selepas subuh tidak membatalkan puasa mereka. Bagi orang yang bangun lewat, maka hendaklah ia cepat menyegerakan mandi hadasnya untuk menyegerakan solat subuh. Kalau lewat bangun tidur disebabkan tidak terjaga sahur atau tidak disengajakan, maka perbuatan tersebut dimaafkan oleh Allah, tapi kalau ia disengajakan atau selepas makan sahur tidur balik, maka dosa baginya kerana ia mengabaikan perintah Allah iaitu mengerjakan solat subuh. Makruh juga orang yang sengaja melewatkan mandi wajib kerana banyak perkara yang terhalang ketika ia berhadas besar. 




Persediaan Ramadhan


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, selamat datang bulan Ramadhan yang penuh barakah dan bulan yang dikenali sebagai madrasah untuk mengubah umat Islam menjadi umat yang lebih baik dan lebih berjaya lagi. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan disediakan berbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya.

Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang.

Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menanggis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun akan datang.

Rasulullah saw telah menyampaikan khutbahnya pada akhir Bulan Syaaban. Alasan yang jelas mengapa ini dilakukan oleh Baginda ialah bahawa Baginda mahu menjelaskan ke dalam fikiran kita tentang kepentingan Ramadhan yang mendatang supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperolehi manfaat daripadanya. Selepas menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini, perhatian kita terfokus ke arah beberapa perkara yang penting. Pertama Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga. Baca Teks Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan di sini.

Antara persiapan yang perlu ada kepada kita semua untuk menyambut Ramadhan supaya Ramadhan tidak terlepas begitu sahaja ialah seperti berikut :
  1. Persiapan Rohani penting kepada kita semua, untuk melaksanakan segala ibadah yang ada dalam Bulan Ramadhan ini perlu mempunyai keikhlasan hati dan tidak mengeluh kesah kerana tidak dapat menikmati makanan pada siang hari dan tidak merunggut kelaparan ketika berpuasa.

  2. Ilmu tentang ibadah-ibadah yang terdapat dalam Bulan Ramadhan kena dipelajari oleh kita semua, kefahaman tentang ibadah Bulan Ramadhan ini akan menyebabkan kita mudah melaksanakannya tanpa menghadapi masalah.

  3. Fizikal penting dalam melaksanakan ibadah puasa, sebab orang sakit dalam bulan puasa tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dan ia terlepas dari segala hikmah yang terdapat dalam bulan puasa. Badan sihat juga mudah untuk melaksanakan ibadah Solat Tarawih, mudah untuk membaca Al-Quran dan sebagainya.

  4. Ekonomi juga penting dalam bulan puasa. Orang yang berkemampuan perbanyakkanlah sedekah kepada orang yang tidak berkemampuan. Kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Memiliki ekonomi juga dapat membuatkan seseorang itu mudah ke masjid untuk melaksanakan ibadah Bulan Ramadhan.
Pastikan segala apa yang kita lakukan walaupun pekerjaan harian kita sekalipun menjadi ibadah dan kita dikurniakan ganjaran yang sangat besar dan baik dari Allah kerana tidak melepaskan peluang ibadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa Di Bulan Ramadhan...

Thursday, May 3, 2012

8 Persediaan Sebelum Hamil






Ketahanan fizikal penting untuk memastikan tubuh anda bersedia untuk menempuh kehamilan. Untuk itu, anda perlu membuat persediaan rapi agar kehamilan anda kelak tidak akan membebankan malah menyeronokkan.



Asid Folik
Asid folik merupakan satu unsur vitamin B yang membantu mengelakkan kecacatan saraf tunjang atau spina bifida pada bayi sejak dalam kandungan. Kesan pada penyakit ini ialah tulang belakang bayi akan terkeluar dan dia mungkin akan mengalami masalah pencernaan kerana saraf tunjangnya terjejas.
Oleh itu, setiap pasangan hendaklah prihatin tentang keperluan asid folik ini. Semua wanita yang merancang untuk hamil dicadangkan agar meningkatkan pengambilan asid folik setiap hari sebanyak 0.6mg iaitu tambahan sebanyak 0.4mg sebelum hamil dan ketika minggu awal kehamilan. Hal ini penting kerana pada tempoh inilah berlakunya pertumbuhan organ-organ bayi. Selain buahan seperti pisang yang kaya dengan asid folik, anda boleh mengambil pil asid folik di farmasi, klinik atau melalui makanan supplemen yang terdapat di pasaran.



Sayuran Dan Buahan
Buahan dan sayuran kaya dengan vitamin C. Jika ingin hamil, anda perlulah mengambil kedua-dua sumber makanan ini untuk mendapatkan vitamin C secara semulajadi. Ketahuilah bahawa vitamin C mampu mengelakkan anda daripada serangan pelbagai penyakit.
Tubuh ibu hamil yang cukup vitamin C dapat berkembang dengan baik dan sihat. Pada masa yang sama, buahan dan sayuran turut berperanan untuk menyelaraskan kadar metabolisme dalam badan dan sebagai antioksida yang dapat melindungi tubuh daripada radikal-radikal bebas yang lazimnya merosakkan sel-sel tubuh.
Satu perkara penting yang perlu anda tahu tentang sayuran dan buahan ini ialah kemampuannya untuk mencegah sembelit yang selalu dialami oleh ibu-ibu hamil. Oleh itu, jadikan ia sebagai rutin harian anda agar waktu hamil nanti anda tidak rasa kekok untuk mengambilnya. Makanan yang kaya dengan serat ini juga memerlukan anda mengunyahnya lebih lama berbanding makanan lain dan hasilnya anda akan cepat kenyang. Percayalah bahawa jika rajin makan buahan dan sayuran, anda mampu mengawal pertambahan berat badan.



Makan Banyak Ikan
Ikan adalah sumber protein yang paling baik dan murah. Selain itu, protein daripada ikan mudah dicernakan oleh tubuh. Kebanyakkan kita tidak menyedari bahawa ikan kaya dengan omega 3 iaitu asid lemak yang diperlukan untuk pertumbuhan mata dan otak yang baik bagi bayi dalam kandungan.
Antara ikan yang sesuai dimakan oleh ibu hamil ialah tuna, tenggiri, tongkol dan kembung. Ikan boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti direbus, dipanggang ataupun digoreng. Terpulanglah kepada anda untuk memilih bahan yang akan dimasak bersama ikan asalkan tidak menjejaskan kesihatan.



Karbohidrat Lawan Lemak
Sewaktu hamil, tubuh wanita memerlukan banyak kalori berbanding ketika tidak hamil. Kekurangan kalori akan mengganggu proses tumbesaran bayi dalam kandungan. Jadi, anda dinasihatkan agar mengambil banyak karbohidrat dan mengurangkan pengambilan makanan berlemak sewaktu hamil kelak.
Beras, jagung, roti, mi, mihun, makaroni dan ubi kentang adalah antara makanan yang kaya dengan karbohidrat. Roti adalah sumber karbohidrat terbaik lebih-lebih lagi jika roti tersebut adalah roti whole grain flour yang berwarna sedikit gelap jika dibandingkan dengan roti sandwich.



Zat Besi Elak Anemia
Melahirkan bayi adalah satu proses yang rumit. Untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar, persediaan awal mestilah dibuat. Dan antara yang perlu diberikan perhatian ialah kandungan darah semasa hamil. Ketahuilah bahawa ibu hamil memerlukan peningkatan darah sebanyak 40 hingga 60 peratus. Jadi untuk mengelakkan berlakunya masalah anemia, anda disarankan mengambil makanan yang kaya dengan zat besi. Antara makanan tersebut ialah daging merah (akan tetapi elakkan daripada makan hati), sayuran hijau, kekacang dan buahan yang sudah dikeringkan.
Pun begitu, harus diingat bahawa penyerapan zat besi tidak akan berlaku dengan baik jika ibu hamil banyak minum minuman yang tinggi kandungan kafeinnya. Ibu hami yang mengalami anemia akan kelihatan pucat dan tidak bermaya. Pendarahan yang banyak sewaktu proses kelahiran bayi akan memburukkan keadaan.



8 Gelas Air
Tubuh sangat memerlukan air sama ada sebelum hamil atau sewaktu hamil. Malah, sepanjang tempoh kehamilan kelak terutamanya pada peringkat permulaan, gejala-gejala seperti loya dan muntah sering berlaku. Akibatnya air banyak keluar. Jadi, anda digalakkan minum air yang banyak bagi mengantikan air yang hilang itu.
Untuk pengetahuan, hormon progestron dalam tubuh seseorang wanita itu akan meningkat semasa hamil. Keadaan ini akan menyebabkan proses penghadaman menjadi lambat. Akibatnya ibu hamil akan berhadapan dengan masalah sembelit dan buasir.
Keadaan akan bertambah teruk apabila kehamilan masuk trimester ketiga. Ketika trimester ketiga, uterus yang semakin membesar dan penuh dengan bayi serta cecair amniotik akan menekan bahagaian bawah uterus bersama-sama pundi kencing. Akibatnya najis menjadi keras dan proses membuang air besar menjadi sukar. Jadi, untuk mengeluarkan najis tersebut, ibu hamil ini terpaksa meneran. Meneran terlalu kerap dan dengan tekanan yang tinggi boleh menyebabkan buasir.
Untuk mengelakkan terjadinya masalah seperti yang telah disebutkan itu, minumlah banyak air. Umumnya anda digalakkan minum sebanyak 8 gelas air masak setiap hari. Akan tetapi, adalah lebih baik jika anda mampu minum lebih daripada itu.



Sarapan Pagi
Sarapan pagi adalah waktu makan yang paling penting dalam kitaran hidup manusia, apatah lagi bagi ibu hamil. Ketika trimester pertama, ibu hamil sering rasa lesu terutamanya pada waktu pagi. Jadi, ambillah sedikit sarapan agar rasa lesu dapat dikurangkan.
Pada masa yang sama, bersarapan akan menghilangkan rasa pedih perut setelah semalaman tanpa makanan. Rasa pedih yang dialami oleh ibu hamil biasanya akan membuatkan mereka mual. Dan ketika inilah, morning sickness menyerang. Oleh itu, bersarapanlah. Akan tetapi, jangan makan terlalu banyak. Contoh sarapan terbaik untuk ibu-ibu hamil ialah segelas susu, semangkuk bijirin dan sekeping roti.



Beriadah
Senaman baik untuk menyihatkan tubuh badan. Hasilnya tubuh anda akan lebih langsing dan mantap. Bagi yang tidak biasa berlari atau ke gimnasium, lakukanlah senaman yang sesuai dengan keupayaan anda. Salah satu daripadanya ialah berjalan. Jika anda suri rumah sepenuh masa, luangkan masa untuk berjalan-jalan di sekitar kediaman anda sambil membuat kerja-kerja rumah seperti membersihkan laman ataupun menyiram pokok bunga.
Bagi yang bekerja pejabat, banyakkanlah berjalan. Jika pejabat anda terletak di tingkat atas dan pejabat mempunyai lif, jangan gunakannya. Sebaliknya, naik ataupun turun menggunakan tangga. Pastinya lebih menyihatkan. Walaupun nampak mudah, aktiviti berjalan kaki sangat baik untuk melancarkan peredaran darah. Malah, ini adalah senaman yang tidak memerlukan kos.